Assalamualaikum,
Salam 1Malaysia,
Kerajaan Negeri Johor secara dasarnya telah meluluskan pelaburan asing ( FDI ) bernilai RM 46 billion bagi industri pemprosesan dan penapisan minyak mentah di lokasi berbeza di Pengerang.
Pihak Kerajaan Persekutuan sedang meneliti dan memproses permohonan pelaburan tersebut.
RM 10 billion didalam perancangan untuk dilaburkan oleh firma daripada Qatar di Tanjung Ayam, Pengerang yang merangkumi Kampung Sungai Buntu dan Kampung Sungai Kapal.
Manakala, RM 30 billion lagi didalam proposal oleh syarikat yang berpengkalan di Iran dan dirancang untuk dilaksanakan disekitar Teluk Ramunia, Pengerang.
Apa saja rancangan pembangunan yang diluluskan oleh kerajaan secara amnya dialu-alukan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang.
Daerah Kecil Pengerang sebagai ' outer zone " kawasan pembangunan komprehensif Wilayah Pembangunan Iskandar ( WPI ) adalah lokasi strategik dan kos efektif daripada segi pemilikan tanah dan buruh.
Manafaat ketara yang bakal melimpahi warga Pengerang ialah pertambahan drastik populasi penduduknya, peningkatan ketara nilai hartanah, peluang pekerjaan bertambah, peluang perniagaan yang pelbagai dan perubahan lanskap Daerah Kecil Pengerang dengan mengambil bandar Kerteh, Trengganu dan Miri, Sarawak sebagai perbandingan.
Bagaimanapun ada perkara skeptikal yang akan berlaku, peranan warga Pengerang dan olahannya kepada survival orang-orang Melayu.
Pada tahap sekarang, tiada apa-apa penjelasan menyeluruh daripada mana-mana pihak dan bagaimana manafaat dapat diambil peluang oleh warga Pengerang.
Adalah dijangkakan bahawa, warga Pengerang akan menjadi penonton bisu kepada pembangunan mega ini dan akhirnya disisih serta dipinggirkan oleh pembangunan tersebut.
Industri petroleum dan gas adalah sesuatu yang asing dan diluar kemampuan masyarakat setempat.
Musibah awal semakin ketara.Syarikat-syarikat bukan Melayu yang menjadi topeng kepada anasir-anasir Singapura sedang menjarah dengan rakus pemilikan tanah daripada orang-orang Melayu terutamanya di Kampung Pengerang, Kampung Lepau, Kampung Jawa dan sehingga ke Kampung Teluk Ramunia.
Pengendalian operasi pintu masuk ke Pengerang melalui laut seperti Terminal Feri Tanjung Pengelih, Sebana dan Tanjung Belungkor sedang dibida oleh syarikat-syarikat berorientasikan Singapura ini.Orang-orang Melayu dianiaya dan ditindas.
Oleh demikian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang menyeru pihak berkuasa mengambil langkah awal bagi melindungi survival orang-orang Melayu.Antara perkara yang wajar dipertimbangkan :
a) Kerajaan Negeri Johor haruslah berperanan aktif dan bertanggungjawab terhadap pelaburan asing dengan mengadakan pengkongsian pintar antara anak-anak syarikat kerajaan negeri dan syarikat tersebut bagi melindungi hak anak negeri terutamanya di Pengerang.
b) Hasil kajian Kesan Kepada Alam Sekitar ( EIA ) yang telus dan jelas haruslah dilaksanakan terlibat dahulu bagi mempertahankan alam sekitar demi kesejahteraan warga Pengerang daripada bencana alam pada masa depan.
c) Sebuah Majlis Dialog antara Rakyat-Kerajaan- Syarikat Asing hendaklah ditubuhkan bagi memastikan warga Pengerang tidak dipinggirkan dan dianiaya.
d) Pembekuan diatas perpindahan pemilikan tanah kepunyaan orang-orang Melayu dan kerajaan negeri hendaklah dikuatkuasakan bagi mengelakkan pembelian besar-besaran oleh syarikat-syarikat yang menjadi agen Singapura.
e) Kerajaan Negeri melalui institusi latihan dan pendidikan miliknya seperti Yayasan Pelajaran Johor hendaklah menubuhkan pusat-pusat latihan berasaskan petroleum dan gas terutamanya untuk generasi muda di Pengerang.Biasiswa-biasiswa kerajaan negeri hendaklah diberikan kepada generasi muda Pengerang bagi melanjutkan pelajaran berkaitan petroleum dan gas di peringkat tertinggi.