
Assalamualaikum,
Salam 1Malaysia,
Sukacita dimaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang telah mengadakan Sidang Media bagi isu salahguna Kompleks Feri Penumpang dan Marina Awam Tanjung Pengelih, Pengerang, Johor Darul Takzim pada 8 Disember 2009, Selasa, pada pukul 12.00 tengahari bertempat di Tanjung Kapal Beach Resort, Sungai Kapal, Pengerang, Johor Darul Takzim.
Seterusnya, satu memorandum bantahan berserta tanda-tangan ahli-ahli Pemuda UMNO Pengerang dan penduduk kampung telah juga diserahkan kepada wakil Jabatan Laut Semenanjung Malaysia, Tanjung Pengelih pada pukul 2.00 petang hari yang sama di Kompleks Feri Penumpang dan Marina Awam, Tanjung Pengelih, Pengerang, Johor Darul Takzim.
Sila rujuk hebahan media seperti senarai berikut :
b) Utusan Malaysia bertarikh 9 Disember 2009
c) Star bertarikh 9 Disember 2009
d) Berita Harian ( Edisi Johor ) bertarikh 10 Disember 2009
e) Harian Metro bertarikh 10 Disember 2009
Selepas beberapa hari isu diatas didedahkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, terdapat banyak pertanyaan dan maklumbalas daripada orang-ramai termasuk agensi-agensi kerajaan dan badan-badan penguatkuasaan yang ada didalam negara kita.
Tidak kurang juga pujian dan kata-kata semangat malah tidak dinafikan juga ada tohmahan, fitnah dan tuduhan yang dilemparkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang.
Oleh itu, kami ingin menjelaskan beberapa perkara untuk pengetahuan umum dan pihak berkuasa yang berkaitan supaya polemik ini tidak berterusan.Tindakan selanjutnya terpulanglah kepada orang-ramai untuk membuat konklusi dan bagaimana agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Laut Semenanjung Malaysia (Marine), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Majlis Keselamatan Negara (NSC), Jabatan Perdana Menteri (NSC), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kastam, Jabatan Pertanian, Tourism Malaysia dan lain-lainnya untuk bertindak menyelesaikan perkara ini.
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang bersedia memikul tanggungjawab dan berkerjasama dengan semua pihak berkuasa rentetan daripada pendedahan tersebut.
Sesungguhnya pendedahan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang bagi isu diatas adalah berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan dibawah :
a) Laporan dan aduan orang ramai yang disampaikan melalui Ketua Pergerakan Pemuda UMNO cawangan Kampung Pengerang kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang.Beberapa individu (orang-orang Kampung Pengerang) menyokong laporan tersebut dan meminta nama mereka tidak didedahkan.Bagaimanapun, mereka bersedia menampilkan diri dan memberi kerjasama jika diminta oleh pihak berkuasa melalui Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang.
b) Laporan dan aduan beberapa ahli UMNO Bahagian Pengerang yang terbabit didalam perniagaan perkapalan diperairan Pengerang dan antarabangsa yang terjejas oleh cara pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang memonopoli dan menyalahgunakan aset kerajaan di Kompleks Terminal Feri Penumpang dan Marina Awam Tanjung Pengelih.
c) Menangkis tuduhan pihak pembangkang yang mengatakan pimpinan UMNO Bahagian Pengerang bersubahat menggalakkan pelancongan berasaskan perjudian dan maksiat di persisiran pantai Pengerang dan di garisan sempadan perairan antarabangsa yang berhampiran dengan Daerah Kecil Pengerang, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim.
Penjelasan diatas diharapkan mampu diterima oleh semua pihak.
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan pihak tertentu bahawa kami telah diperalatkan oleh mana-mana pemimpin politik atasan dan syarikat-syarikat berkepentingan.
Segala kos makan-minum, pengangkutan, penginapan, percetakan, media dan komunikasi didahulukan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang.
Khidmat perunding media yang digunakan juga dibantu oleh beberapa orang ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sekijang, Johor yang mengenakan bayaran yang kompetitif.Mereka adalah rakan rapat kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang.
Wujud juga tohmahan bahawa terdapat sebilangan ahli-ahli UMNO dan orang-orang kampung tidak dimaklumkan tentang bantahan tersebut.Sukacita dimaklumkan bahawa Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang telah menghebahkan kepada setiap Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Pengerang dan Ketua-Ketua Pemuda Cawangan yang ada didalam UMNO Bahagian Pengerang.Hebahan seterusnya kepada ahli-ahli pemuda diakar umbi terserah kemudiannya kepada Ketua-Ketua Pemuda UMNO Cawangan.
Bagaimanapun lebih daripada 50 orang ahli-ahli Pemuda UMNO Bahagian Pengerang dan orang-orang kampung telah hadir.Ia juga atas pertimbangan bahawa tarikh, hari dan masa adalah waktu bekerja yang menyekat peluang lebih ramai ahli pemuda UMNO dan penduduk kampung untuk hadir.Ramai juga yang menelepon semula memohon maaf kerana tidak dapat hadir.
Seramai 15 orang Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Pengerang dan Ketua-Ketua Pemuda UMNO cawangan telah hadir walaupun sebilangan terpaksa mengorbankan masa rehat makan tengahari untuk terlibat sama.Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua UMNO Cawangan Kampung Baru Sungai Mas yang turut hadir sama memberi sokongan moral.Ucapan Terima Kasih juga kepada Ketua UMNO Cawangan Sungai Kapal yang membenarkan premis perniagaan beliau untuk sidang akhbar tersebut.Beberapa Ketua-Ketua UMNO Cawangan telah menghubungi Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang untuk mengucapkan Tahniah dan memberikan sokongan moral.Terima Kasih.
Perlu untuk diketahui juga bahawa memang wujud unsur-unsur kejutan ( surprise elements ) yang telah dirancang agar Sidang Media dan Memorandum tidak dihebahkan lebih awal dan hanya dimaklumkan pada saat-saat akhir kepada orang-ramai untuk mengelakkan ' cover up ' pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.Hanya media cetak dan elektronik sahaja yang dimaklumkan 24 jam lebih awal.Pihak Cawangan Khas, IPD Kota Tinggi pula telah dijemput hadir atas event makan tengahari bersama Pemuda UMNO Pengerang bagi menjaga kerahsiaan unsur-unsur kejutan tersebut.Bagaimanapun, Y.S Ketua Polis Daerah Kota Tinggi ( OCPD ) atas kapasiti kecekapan beliau telah berjaya lebih kurang 12 jam lebih awal mengesan pendedahan yang bakal dibuat oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang itu.Beliau telah mengarahkan TCO PDRM Tanjung Pengelih menemui dan menemuduga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang pada pukul 11.45 malam, 7 Disember 2009, Isnin di Pekan Sungai Rengit, Pengerang.
Lanjutan itu, OCPD memberi amaran kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang bahawa mana-mana ahli Pemuda UMNO atau penduduk kampung yang berdemontrasi di depan bangunan kerajaan atau menimbulkan gangguan kepada ketenteraman awam akan ditangkap dibawah Akta Polis.Permit Polis untuk berhimpun secara aman juga akan ditolak.Atas nasihat OCPD, demontrasi yang dirancang telah ditukar kepada serahan memorandum dimana bilangan ahli pemuda UMNO yang hadir untuk serahan memorandum disekat kepada tidak lebih 5 orang.Ini menjawab teguran individu tertentu tentang kurangnya Ahli Jawatankuasa Bahagian yang hadir semasa serahan memorandum seperti yang dipaparkan di kaca televisyen dan akhbar.OCPD juga telah membenar dan menasihatkan agar sidang akhbar diadakan dengan tertib dan sopan tanpa sebarang provokasi.Terima Kasih kepada IPD Kota Tinggi.
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang juga mengambil peluang disini menjawab beberapa teguran dan tuduhan yang dinyatakan oleh komentar-komentar didalam laman blog
http://www.tepakbersulam.com. Adalah skeptikal mereka ini bersembunyi dengan 'nickname' tertentu dan tidak bersedia mendedahkan diri mereka yang sebenar.Mereka umpama 'Ghosts`.
Adalah suatu penghinaan kepada ahli-ahli Pemuda UMNO Pengerang yang hadir ketika sidang media itu apabila dilabelkan sebagai belangkas-belangkas milik Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang.Adalah pernyataan yang melampau bahawa mereka telah dibayar RM1 atau apa-apa nilai wang sekalipun.Mereka hadir atas sifat sukarela dan semangat pemuda UMNO yang sebenar.
Adalah tuduhan yang tidak adil kepada Ketua Pemuda atau ahli-ahli Pemuda UMNO yang hadir dikenakan ' reverse psychology '! Adakah suatu hari nanti, JIKA Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang membawa isu pencurian atau tambak pasir, maka Ketua Pemuda dan ahli-ahli Pemuda UMNO pula akan dituduh sebagai perompak pasir?
Adalah tidak benar juga bahawa Pemuda UMNO Pengerang hanya sibuk menjaga hal ehwal dan isu rumahtangga orang lain tanpa mengendahkan isu-isu didalam Pengerang.Bukankah isu kapal judi ini juga tentang mempertahankan namabaik orang-orang Pengerang dan Daerah Kecil Pengerang? Sanggupkah kita jika Pengerang dilabelkan sebagai serambi judi untuk segelintir warga Singapura?
Mungkin kurang hebat atau sempurna, tetapi ada juga aktiviti dan program Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang yang telah dan akan dijalankan sejak sessi 2008-2011 mengambilalih kepimpinan pada 2 November 2008.Harap bersabar untuk hebahan semua sehinggalah blog dan laman sosial Facebook Pemuda UMNO Pengerang siap dikemaskini.Jika yang tidak boleh bersabar, boleh mendapatkan buku Minit Mesyuarat Persidangan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang 2009 daripada Penolong Setiausaha.
Soal perpaduan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang tidak seharusnya diperbesarkan.Alhamdulillah, pada ketika ini, kami tidak mengalami kerumitan yang keterlaluan berbanding atas apa yang berlaku kepada pucuk pimpinan UMNO Bahagian Pengerang terutamanya selepas pemilihan UMNO Bahagian pada 9 November 2009 yang lalu.Memang masih ada beberapa ahli-ahli Pemuda UMNO Pengerang yang membawa diri atau menjadi pengkritik tetap kami terutamanya apabila mereka tidak terpilih menganggotai pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang sessi 2008-2011.
Soal perpaduan ahli-ahli pemuda UMNO Pengerang adalah keutamaan teratas kami, sama seperti usaha-usaha kami membantu jentera parti untuk mengekalkan kerusi Parlimen P157 Pengerang, DUN 38 Penawar dan DUN 39 Tanjung Penawar agar kukuh milik UMNO / BN pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti.
Berbalik soal sidang media dan serahan memorandum tentang penyalahgunaan Kompleks Terminal Feri Penumpang dan Marina Awam Tanjung Pengelih, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang masih menunggu jawapan rasmi daripada Jabatan Laut Semenanjung Malaysia.
Walaupun terdapat beberapa tekanan daripada beberapa pihak, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang tidak akan berputus asa sehinggalah bumi pengerang tidak lagi dijadikan transit oleh segelintir warga asing untuk pergi ke kapal-kapal judi.
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang sentiasa terbuka menerima teguran, kritikan membina dan pandangan daripada mana-mana pihak demi sebuah perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.Jumpa Lagi.
p/s : Foto diatas adalah ditampal daripada keratan akhbar utama.Mungkin seperti itu agaknya Kapal-Kapal Judi yang berada di perairan antarabangsa berhampiran pesisiran pantai Pengerang.